Rabu, 27 Mac 2013

TERNAKAN BURUNG PUYUH


Panduan Penternakan Burung Puyuh



Penternakan Burung Puyuh Daging / Puyuh Telur

Sektor penternakan merupakan salah satu daripada cabang-cabang pertanian selain tanaman makanan asas, buah-buahan, perikanan dan juga akuakultur. Semua cabang dalam tersenarai dalam bidang pertanian ini secara umumnya banyak menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka dengan peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Penternakan puyuh telah lama dipelihara oleh penternak puyuh tempatan dan hasil utama penternakan ini adalah telur puyuh yang telah sedia ada di pasaran tersendiri dan ia amat terhad. Harga telur puyuh di pasaran juga amat tinggi kini. Contoh:- 50 biji telur puyuh berharga sekitar RM6.80. Manakala pengeluaran daging pula adalah sampingan daripada penternakan telur puyuh ini. Harga bagi daging puyuh sekitar RM2.40 sehingga ke RM4.50.


Puyuh jantan yang tidak diperlukan untuk pengeluaran telur akan diproses dan dijual . Begitu juga puyuh-puyuh penelur yang tua akan diproses dan dijual sebagai daging puyuh. Bagi penternak khusus untuk pengeluaran daging puyuh didapati menggunakan puyuh jenis penelur. Walaupun demikian ada juga terdapat pemeliharaan dari jenis puyuh berbadan besar dari baka yang diimport.

Penternakan puyuh masih ditahap kecilan kerana ramai yang menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ketahap komersil. Kebanyakan penternakan puyuh mengamalkan cara penternakan yang tradisional. Pembekalan anak puyuh adalah sangat terhad. Punca anak puyuh adalah samada dari ladang sendiri atau dibeli dari penternak lain yang mempunyai penternakan puyuh baka.

Kebanyakan penternak puyuh tempatan menggunakan satu jenis puyuh untuk pengeluaran telur dan daging. Penternak baka induk puyuh menggunakan sistem pembiakan kaedah pusingan dimana anak menggantikan induk. Apabila stok induk telah tua dan perlu diganti maka penternak ini akan mengambil telur-telur dari stok ini untuk ditetaskan dan kemudian dijadikan stok induk. Cara penternakan ini telah berjalan dengan lamanya dan didapati hasil pengeluaran dan prestasi puyuh semakin merosot atau tiada perubahan. Penternakan puyuh tidak memakan masa yang lama, hanya dari 1 minggu ke 6 minggu sahaja. Selepas enam minggu kita telah mendapat hasil/pulangannya.

Kos / Modal
Diperlukan untuk:-
Kos tetap iaitu Reban/bangsal, peralatan makanan & minuman, alat pemanas, kebersihan dan lain-lain.

Kos berulang: - iaitu air, makanan, gas/elektrik, ubatan dan sampingan lain (jika diperlukan)
Tidak memerlukan modal yang tinggi.

Pemakanan Puyuh
Puyuh diberi makanan dari jenis 'Quail Starter mash' atau Makanan Permulaan Puyuh. Kandungan nutrien yang disyorkan adalah seperti di Lampiran 3. Tentukan pengusaha menggunakan makanan jenis ini untuk mempastikan pembesaran yang cepat. Di lapangan banyak pengusaha puyuh pedaging tempatan tidak menggunakan makanan dari jenis ini. Makanan permulaan ayam pedaging digunakan dengan meluas bagi memberi makan puyuh pedaging. Keadaan ini berlaku kerana syarikat pembuat makanan ternakan tidak menjual makanan puyuh pedaging kerana volume yang kecil. Walaubagaimanapun pengusaha besar boleh mendapatkan makanan puyuh pedaging dengan rundingan terus kepada pengeluar makanan.

Pengurusan
Sistem pemeliharaan diatas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik. Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas biasa digunakan oleh penternak tempatan. Anak puyuh diinduk didalam kotak perindukan dan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.

Bangsal
Keperluan bangsal adalah tertakluk kepada kumpulan ternakan atau kekerapan pengeluaran puyuh pedaging. Sebagai contoh, bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurangnya lapan. Ini berdasarkan sistem penternakan sekali gus masuk sekali gus keluar bagi setiap bangsal. Begitu juga bagi keperluan kawasan. Sais bangsal untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan sekor sebanyak 210 sentimeter persegi. Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara 2 bangsal. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakan gangguan dari ternakan atau binatang lain. Puyuh masih lagi mempunyai sifat terkejut dan 'excitability' yang boleh menjejaskan prestasi.

Bagi penternakan puyuh pedaging pada lazimnya pengusaha digalakan menjalankan aktiviti sembelihan dan menjual puyuh secara bersih proses. Dengan cara ini pengusaha diperlukan mengadakan logi pemprosesan sendiri. Logi ini hendaklah berjauhan dari kawasan penternakan. Bangunan yang diperlukan bergantung kepada jumlah pemprosesan yang hendak dijalankan. Bilik sejuk atau peti sejuk perlu diadakan untuk penyimpanan stok puyuh proses.

Struktur Industri
Dari tinjauan yang dibuat didapati struktur penternakan puyuh ini sangat kompleks. Ada terdapat beberapa kategori ladang yang terlibat dengan penternakan puyuh ini. Ada pengusaha yang terlibat dengan pengeluaran anak untuk kegunaan daging dan telur. Terdapat pengusaha yang menternak puyuh dari jenis pedaging dan penelur. Walaupun demikian pengusaha puyuh pedaging adalah tertinggi dan merupakan 60% dari jumlah penternak. Penternakan yang mempunyai baka induk dan kemudahan penetasan adalah sebanyak 30 % dari jumlah penternak. Penternak dari kategori ini berperanan membekalkan keperluan anak puyuh kepada industri. Negeri-negeri Perak dan Kelantan mempunyai bilangan pengusaha yang tertinggi.

Pecahan pengusaha mengikut sais penternakan seramai 23 % dari jumlah keseluruhan pengusaha mempunyai populasi penternakan kurang dari 1000 ekor. Saiz ladang yang terbanyak adalah diantara 1000 - 3000 ekor. Hanya 12% penternak yang mempunyai saiz ladang melebihi 10,000 ekor. Dari maklumat ini didapati kebanyakan pengusaha ternakan puyuh adalah secara kecilan sahaja.

Penternakan burung puyuh ini amat berpotensi dan permintaan terhadap telur puyuh dan dagingnya kini kian meningkat.

TERNAKAN ARNAB


Cubaan ternak arnab berjaya

SUMBER: ARKIB : 04/07/2011 Utusan Malaysia

Mohd. Ismail Padzil menunjukkan pelbagai spesies arnab ternakannya.


BIASANYA minat, pengalaman dan galakan keluarga menjadi tunjang atas kejayaan seseorang. Tetapi berlainan pula dengan Pengarah Urusan One Stop Rabbit Farm & Trading (1SRFT), Mohd. Ismail Padzil kerana bosan duduk di rumah selepas bersara daripada perkhidmatan swasta mendorongnya mengintai peluang perniagaan yang ada.

“Sebelum bersara daripada sektor swasta, saya tidak pernah merancang melakukan apa-apa.
“Tapi disebabkan tidak betah duduk di rumah saya menghadiri pelbagai kursus perniagaan dan penternakan termasuk melawat ladang ikan, ayam, kambing, lembu dan arnab,” katanya semasa ditemui di ladang arnab miliknya di Bukit Badong, Kuala Selangor baru-baru ini.

Memang pada mulanya projek ternakan terutama arnab tidak pernah terlintas di fikirannya.
Bagaimanapun projek ternakan yang tidak digemarinya satu ketika dulu, kini menjadi perniagaan yang amat disukai.
“Bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta, kerana kini saya dapati ternakan arnab mempunyai banyak ruang untuk diisi,” katanya.
Dia kini aktif dalam projek membiakkan pelbagai baka arnab bagi bekalan daging secara komersial selain sebagai haiwan peliharaan.
Selepas mengunjungi beberapa ladang ternakan arnab, Mohd. Ismail memulakan projek tersebut dengan membeli 40 ekor arnab pada tahun lalu.
Kini setelah lebih setahun, dia mempunyai lebih 3,000 ekor arnab pelbagai jenis termasuk pedaging dan arnab hiasan di tanah seluas tiga ekar milik keluarganya.

Mohd. Ismail juga rajin menghadiri beberapa kursus dan bengkel memilih arnab. Ini kerana haiwan berkenaan mudah diternak dan tempoh pembiakannya cepat berbanding haiwan lain.
Saiz arnab yang kecil membolehkannya dibiakkan di kawasan sangkar tanpa kawasan yang besar memudahkan pengurusan ternakan.
Selain itu beliau dapati tidak ramai penternak menternak arnab secara komersial walaupun permintaan terhadap daging arnab adalah tinggi.
“Lima bulan pertama saya di dalam ternakan arnab, saya dapati terdapat permintaan yang tinggi bagi daging arnab.

“Tambahan pula tidak ramai penternak arnab komersial terutama golongan Bumiputera menyebabkan saya semakin serius dalam ternakan arnab,” katanya.
Apabila ternakannya mencecah angka 400 ekor dalam tempoh enam bulan pertama, Ismail terus membeli baka baru seperti baka pedaging dan hiasan.
Jika pada peringkat permulaan, Ismail hanya mempunyai empat jenis baka arnab tetapi kini belia memiliki lebih 10 baka arnab termasuk pedaging dan hiasan.
Bercerita mengenai cabaran dalam ternakan arnab, Ismail mengakui arnab mudah dijangkiti dengan pelbagai penyakit terutama kudis.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan, Ismail terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi membuat sangkar tambahan serta ubat-ubatan.
“Arnab sensitif dan senang berjangkit dan terpaksa dikuarantin bagi mengelakkan merebak ke ternakan lain,” katanya.

Ismail berkata selepas enam bulan bergiat dalam ternakan arnab, beliau sudah mula serasi dan berjaya menyelesaikan masalah kesihatan sehingga bilangan arnab mencapai 1,000 ekor.
Melihat kepada perkembangan pesat ternakan arnab, Mohd. Ismail mengambil keputusan membangunkan syarikat yang mengeluarkan produk arnab secara komersial.
Ismail mendaftarkan syarikat 1SRFT pada 9 September 2009.
Selepas hampir dua tahun terbabit dalam projek penternakan arnab, dia kini mampu tersenyum dengan memiliki 3,00 ekor.

“Seekor arnab dijual mengikut kadar harga berbeza bergantung kepada jenis baka arnab.
“Biasanya arnab peliharaan dijual pada harga bermula RM100 manakala arnab pedaging pula dijual pada harga RM38 sekilogram,” katanya.
Bagi memberikan yang terbaik bagi pelanggan, Mohd. Ismail mempunyai rumah sembelih halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ini bagi memastikan pelanggan mendapat daging arnab yang disembelih secara halal,” katanya.
Dia yang sentiasa memantau industri arnab mendapati, ternakan berkenaan mempunyai pasaran yang luas.
Malah katanya, bukan saja daging arnab mendapat permintaan yang tinggi, malah kulit arnab memikat pembeli dari luar negara.
“Buat masa ini saya berharap dapat mengedarkan daging arnab halal bukan saja ke seluruh negara tetapi juga ke luar negara.

“Kami memberi lebih perhatian kepada aktiviti penjualan baka kepada penternak dan peminat arnab, menjual daging segar kepada orang tengah dan pembuat sate,” katanya.
Selain menjual arnab daging dan hiasan, Ismail juga membuka zoo mini Taman Arnab Bukit Badong bagi menempatkan arnab serta beberapa haiwan seperti kuda, burung merak, monyet, ayam mutiara dan pelbagai jenis ikan.

“Taman Arnab Bukit Badong biasanya dikunjungi oleh pelawat sekitar Kuala Selangor terutama kanak-kanak sekolah dan tadika.
“Di sini mereka boleh bermain dan memberi makan arnab yang dilepaskan di kawasan terbuka,” katanya.
Tidak menoleh ke belakang, Ismail merancang membina restoran berasaskan daging arnab sebagai satu ciri keistimewaan.
Bagi merealisasikannya, Ismail telah mula menanam pelbagai jenis sayuran kampung yang biasa digunakan dalam masakan.
“Saya mahu mengikis perspektif negatif kebanyakan masyarakat di negara ini yang tidak gemar atau 'geli' hendak memakan daging arnab ini.
“Sebenarnya mereka tidak tahu yang daging arnab lebih berkhasiat daripada haiwan ternakan lain dengan dipanggang, daging arnab enak dimasak rendang, kari atau gulai," katanya lagi.