Rabu, 27 Mac 2013

TERNAKAN BURUNG PUYUH


Panduan Penternakan Burung Puyuh



Penternakan Burung Puyuh Daging / Puyuh Telur

Sektor penternakan merupakan salah satu daripada cabang-cabang pertanian selain tanaman makanan asas, buah-buahan, perikanan dan juga akuakultur. Semua cabang dalam tersenarai dalam bidang pertanian ini secara umumnya banyak menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka dengan peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Penternakan puyuh telah lama dipelihara oleh penternak puyuh tempatan dan hasil utama penternakan ini adalah telur puyuh yang telah sedia ada di pasaran tersendiri dan ia amat terhad. Harga telur puyuh di pasaran juga amat tinggi kini. Contoh:- 50 biji telur puyuh berharga sekitar RM6.80. Manakala pengeluaran daging pula adalah sampingan daripada penternakan telur puyuh ini. Harga bagi daging puyuh sekitar RM2.40 sehingga ke RM4.50.


Puyuh jantan yang tidak diperlukan untuk pengeluaran telur akan diproses dan dijual . Begitu juga puyuh-puyuh penelur yang tua akan diproses dan dijual sebagai daging puyuh. Bagi penternak khusus untuk pengeluaran daging puyuh didapati menggunakan puyuh jenis penelur. Walaupun demikian ada juga terdapat pemeliharaan dari jenis puyuh berbadan besar dari baka yang diimport.

Penternakan puyuh masih ditahap kecilan kerana ramai yang menganggap penternakan ini susah untuk mencapai ketahap komersil. Kebanyakan penternakan puyuh mengamalkan cara penternakan yang tradisional. Pembekalan anak puyuh adalah sangat terhad. Punca anak puyuh adalah samada dari ladang sendiri atau dibeli dari penternak lain yang mempunyai penternakan puyuh baka.

Kebanyakan penternak puyuh tempatan menggunakan satu jenis puyuh untuk pengeluaran telur dan daging. Penternak baka induk puyuh menggunakan sistem pembiakan kaedah pusingan dimana anak menggantikan induk. Apabila stok induk telah tua dan perlu diganti maka penternak ini akan mengambil telur-telur dari stok ini untuk ditetaskan dan kemudian dijadikan stok induk. Cara penternakan ini telah berjalan dengan lamanya dan didapati hasil pengeluaran dan prestasi puyuh semakin merosot atau tiada perubahan. Penternakan puyuh tidak memakan masa yang lama, hanya dari 1 minggu ke 6 minggu sahaja. Selepas enam minggu kita telah mendapat hasil/pulangannya.

Kos / Modal
Diperlukan untuk:-
Kos tetap iaitu Reban/bangsal, peralatan makanan & minuman, alat pemanas, kebersihan dan lain-lain.

Kos berulang: - iaitu air, makanan, gas/elektrik, ubatan dan sampingan lain (jika diperlukan)
Tidak memerlukan modal yang tinggi.

Pemakanan Puyuh
Puyuh diberi makanan dari jenis 'Quail Starter mash' atau Makanan Permulaan Puyuh. Kandungan nutrien yang disyorkan adalah seperti di Lampiran 3. Tentukan pengusaha menggunakan makanan jenis ini untuk mempastikan pembesaran yang cepat. Di lapangan banyak pengusaha puyuh pedaging tempatan tidak menggunakan makanan dari jenis ini. Makanan permulaan ayam pedaging digunakan dengan meluas bagi memberi makan puyuh pedaging. Keadaan ini berlaku kerana syarikat pembuat makanan ternakan tidak menjual makanan puyuh pedaging kerana volume yang kecil. Walaubagaimanapun pengusaha besar boleh mendapatkan makanan puyuh pedaging dengan rundingan terus kepada pengeluar makanan.

Pengurusan
Sistem pemeliharaan diatas lantai sampah sarap sekali gus masuk sekali gus keluar adalah disyorkan. Dengan sistem ini satu peringkat umur puyuh berada didalam satu bangsal. Dengan sistem ini pengurusan adalah lebih sempurna dengan kawalan penyakit yang baik. Sistem pemeliharaan menggunakan kotak kayu khas biasa digunakan oleh penternak tempatan. Anak puyuh diinduk didalam kotak perindukan dan kemudiannya dipindahkan ke kotak pembesaran yang biasanya bertingkat.

Bangsal
Keperluan bangsal adalah tertakluk kepada kumpulan ternakan atau kekerapan pengeluaran puyuh pedaging. Sebagai contoh, bagi pengusaha yang hendak mengeluarkan puyuh pedaging seminggu sekali keperluan bangsal hendaklah sekurangnya lapan. Ini berdasarkan sistem penternakan sekali gus masuk sekali gus keluar bagi setiap bangsal. Begitu juga bagi keperluan kawasan. Sais bangsal untuk memuatkan 10,000 ekor puyuh adalah 10 meter lebar x 21 meter panjang dan 3.6 meter tinggi dengan luas kawasan pemeliharaan sekor sebanyak 210 sentimeter persegi. Berikan jarak sekurangnya 15 meter antara 2 bangsal. Kawasan penternakan perlu dipagar untuk mengelakan gangguan dari ternakan atau binatang lain. Puyuh masih lagi mempunyai sifat terkejut dan 'excitability' yang boleh menjejaskan prestasi.

Bagi penternakan puyuh pedaging pada lazimnya pengusaha digalakan menjalankan aktiviti sembelihan dan menjual puyuh secara bersih proses. Dengan cara ini pengusaha diperlukan mengadakan logi pemprosesan sendiri. Logi ini hendaklah berjauhan dari kawasan penternakan. Bangunan yang diperlukan bergantung kepada jumlah pemprosesan yang hendak dijalankan. Bilik sejuk atau peti sejuk perlu diadakan untuk penyimpanan stok puyuh proses.

Struktur Industri
Dari tinjauan yang dibuat didapati struktur penternakan puyuh ini sangat kompleks. Ada terdapat beberapa kategori ladang yang terlibat dengan penternakan puyuh ini. Ada pengusaha yang terlibat dengan pengeluaran anak untuk kegunaan daging dan telur. Terdapat pengusaha yang menternak puyuh dari jenis pedaging dan penelur. Walaupun demikian pengusaha puyuh pedaging adalah tertinggi dan merupakan 60% dari jumlah penternak. Penternakan yang mempunyai baka induk dan kemudahan penetasan adalah sebanyak 30 % dari jumlah penternak. Penternak dari kategori ini berperanan membekalkan keperluan anak puyuh kepada industri. Negeri-negeri Perak dan Kelantan mempunyai bilangan pengusaha yang tertinggi.

Pecahan pengusaha mengikut sais penternakan seramai 23 % dari jumlah keseluruhan pengusaha mempunyai populasi penternakan kurang dari 1000 ekor. Saiz ladang yang terbanyak adalah diantara 1000 - 3000 ekor. Hanya 12% penternak yang mempunyai saiz ladang melebihi 10,000 ekor. Dari maklumat ini didapati kebanyakan pengusaha ternakan puyuh adalah secara kecilan sahaja.

Penternakan burung puyuh ini amat berpotensi dan permintaan terhadap telur puyuh dan dagingnya kini kian meningkat.